Fizik ialah satu cabang sains yang menkaji fenomena-fenomena
alam di sekeliling kita. Fenomena alam ialah kejadian semulajadi yang dapat
diperhatikan melalui pelbagai deria manusia. Contoh fenomena alam ialah panjang
bayang-bayang berubah dari pagi hingga petang, pelangi mempunyai tujuh warna,
melihat kilat terlebih dahulu sebelum guruh, gerhana matahari dan bulan dan
sebagainya. Semua ini dapat diterangkan dengan ilmu fizik.
Fizik juga banyak mempengaruhi kehidupan harian kita. Sistem
komunikasi yang canggih telah membolehkan kita berhubung antara satu sama lain
pada bila-bila masa di mana-mana tempat. Pelbagai jenis tenaga juga membolehkan
banyak fenomena dan aktiviti kehidupan harian dilaksanakan.
Perkataan fizik berasalkan daripada perkataan Yunani “Physikos” yang bermakna alam semesta. Segala penerokaan dan pemerhatian tentang fenomena alam semulajadi yang merupakan ciptaan Tuhan adalah termasuk dalam skop kajian fizik. Penyelidikan tentang fenomena fenomena alam telah mendorong manusia mencipta pelbagai bahan dan alat yang baru untuk meningkatkan keselesaan kehidupan manusia. Misalnya ciptaan komputer, telefon bimbit, televisyen telah banyak mempengaruhi kehidupan manusia.
Kehidupan harian yang berkaitan dengan fenomena fizik adalah
seperti seseorang sukar berjalan di atas lantai yang licin, telefon bimbit
boleh berfungsi tanpa wayar, pembesar suara boleh mengeluarkan bunyi yang kuat,
manusia akan terpelanting ke hadapan apabila basikal yang ditunggangnya
terlanggar halangan.
Pada asasnya, fizik merupakan kajian untuk mencari jawapan
kepada persoalan-persoalan ‘mengapa’ dan ‘bagaimana’ tentang fenomena alam dan
kejadian kehidupan harian. Kebanyakkan fenomena alam dan kejadian kehidupan
harian dapat diterangkan dengan konsep fizik